.

.

Wednesday, 15 November 2017

Novel Hailander Bab 1



Pagi masih malas beringsut. Haikal menggeliat. Dingin menggigit tubuh. Bunyi kicau burung, unggas berlagu senada seirama bagai merpati sejoli takkan terpisah. Selama ketiadaan sesiapa di kampung itu, dia hanya bercakap dengan pokok-pokok dan haiwan yang melata. Orang tuanya sudah lama tiada. Malah sepupu, pakcik, makcik, atuk nenek, saudara, kawan juga tiada. 
Hanya kenangan manis yang tertinggal untuk dikenang kala sunyi menziarahi.
Mereka sudah lama pergi . Pergi pada suatu pagi yang dingin. Sama seperti pagi itu.
* * *
Pagi itu Haikal sudah bersiap-siap ke atas bukit. Bekal pulut udang dan seuncang air sangkut di sisi.
"Hati-hati ke atas tu. Gajah rimau nak balik sarang. Mengelaklah kalau boleh Haikal oi." Pesan ibunya, Haikal senyum dan mengangguk.
Penat semalam mengangkat kayu belum usai tapi rezeki harus dicari. Perlahan dia berjalan keluar. Beberapa rakannya menegur. Haikal hanya mengangkat tangan. Malas nak jawab nanti jadi menyembang panjang.
Sampai di tempat yang agak lapang, Haikal meninjau dulu tempat sembunyi. Cadangnya mahu menjerat napuh pagi ini. Beberapa kesan tapak kaki napuh dilihatnya beberapa hari kelmarin.
"Boleh jadi ada 3, 4 ekor," gumamnya sendirian.
Bunyi unggas sahut menyahut dalam hutan merata sana-sini. Matanya melilau memandang keliling. Dia memandang ke atas. Cuaca agak mendung. Dia tahu kalau cuaca begitu, haiwan biasanya sudah siap-siap mencari tempat teduh.
Siap memasang perangkap, Haikal berjalan mencari sungai yang berdekatan. Dia sudah biasa dengan kawasan hutan di situ. Tiba-tiba hidungya tercium bau sesuatu. Hamis!
"Ah sudah!"
Pantas dia memanjat pokok yang tinggi. Kalau bau itu yang sampai kena panjat pokok tinggi. Dia menggigit parang yang dibawa. Makin lama makin kuat bau hamis. Haikal mencari-cari mana arah datangnya bau. Terbeliak matanya apabila seekor harimau besar lagi dari kerbau melintas. Dia mendongak ke atas dan hidungnya bagai mencium-cium bau sesuatu.
Haikal memeluk pohon kuat-kuat. Ia berhenti dan menderam di bawah. Tengok-tengok ada seekor kera dari pokok sebelah jatuh terjelepuk ke bawah. Tak bertangguh ia menerkam dan lari ke arah hutan sebelah atas bukit.
Haikal lega. Perlahan-lahan dia turun dan menuju semula ke arah sungai. Tiba-tiba dia terdengar suara kecoh dari seberang sungai. Dia mengendap. Kelihatan orang sedang bergaduh. Dua lawan satu.
Datuk Maharajalela dan Puntum?
Seorang lagi berbangsa Inggeris. Mereka kemudian membenam Inggeris itu ke dalam sungai. Haikal kembali semula ke dalam hutan dan memeriksa perangkap yang dipasang. Kelihatan seekor napuh yang sedang berusaha melepaskan diri. Mulutnya bising.
Sedang elok Haikal membuka perangkap dan mengikat kakinya, telinganya menangkap bunyi seekor napuh lagi. Tapi halus sedikit. Napuh di tangannya juga bising seolah-olah memberi amaran agar jangan menghampirinya.
Haikal bangun berdiri, ada seekor napuh kecil sedikit muncul di tepi semak yang berhampiran. Wajahnya bagai meminta belas.
"Haish, kau ni. Emm... macam mana ni? Adui."
Akhirnya napuh di tangan Haikal lepaskan. Ia terus mendapatkan napuh yang kecil sedikit tadi. Tahulah Haikala bahawa yang ditangkapnya adalah ibu napuh. Haikal sedikit kecewa tapi hatinya redha, kasihan melihat yang seekor lagi.
"Rezeki kau hari ni napuh oi."
Haikal pun bergerak, balik semula ke kampung. Semasa perjalanan kaki terseradung banir akar dan jatuh tergolek. Mujur tak ada apa-apa. Tapi Haikal tak segera bangun. Dalam benaknya dia mencongak sesuatu. Hatinya rasa tak sedap. Bergulung-gulung semacam. Pantas dia bergerak.
Hatinya berdebar. Sambil berlari dia perasan juga sejak dari tadi hutan senyap sunyi walau tak jadi hujan. Awan cerah seperti biasa. Hampir satu jam berlari dan berjalan, dia tiba ke kampung. 
Antara percaya atau tidak, dia berjalan di antara mayat-mayat yang bergelimpangan. Darah bagai disiram, melambak di atas tanah. Tubuh manusia bercerai-berai! Tangan dan kaki bersepah-sepah. Ada separuh pinggang bergolek atas tanah. Bila tiba di rumahnya, sunyi.
Haikal perlahan masuk ke dalam. Dia menelan liur. Air mata laju merembas keluar.
"Mak...."
Lututnya longlai. Dia terduduk.
"Tak mungkin!"
Kemudian dia berlari keluar terjerit-jerit seperti hilang akal. Tanpa menghiraukan keadaan dia terus berlari hinggalah akhirnya dia terhenti tiba-tiba. Dia meraba perutnya. Sebilah tombak menembusi. Darah mengalir pekat, membuak-buak seperti kepala air yang datang selepas hujan.
"Aaa..aaa..." Nafasnya tersekat-sekat dan makin pendek.
Ketika itu jugalah matanya tertancap pada sepasang kaki di hadapannya. Dia mengangkat kepala dan terdiam, air mata gugur menahan kesakitan yang terhingga. Dia tak mampu untuk berfikir apa-apa lagi. Kesakitan mengatasi segala kewarasan.
"Kai...kaimera?"
Pandangannya gelap. Kepalanya terasa ringan. Dadanya berombak, terasa berat dan sendat. Nafas semakin pendek. Akhirnya tiada lagi nafas yang masuk. 


Read more...

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP