.

.

Wednesday, 17 February 2016

Beza Pemakaian Solok Timbo & Dendam Tak Sudah


Solok Timbo

Dendam Tak Sudah


Acapkali juga saya menerima pertanyaan dan tempahan destar Dendam Tak Sudah dari para pengantin. Sebenarnya saya amat tidak selesa sekiranya mengambil tempahan Dendam Tak Sudah (DTS) sesudah mempelajarinya dari seorang guru di Negeri Sembilan. Menurut guru saya, DTS hanya layak dipakai oleh Sultan yang memerintah, bukannya rakyat biasa. 

Rakyat di kalangan kita moleknyalah memakai Solok Timbo (ST) untuk sama ada majlis perkahwinannya atau lainnya. Juga sambil itu, saya ingin mengalih-arahkan pandangan tuan-tuan terhadap persepsi yang mengatakan bahawa ini adalah destar untuk pengantin semata. Sebenarnya tidak (mohon ditambah sekiranya ada lagi pencerahan atau sekiranya kurang tepat, mohon dimaklumkan juga). Daripada pengamatan saya yang baru ini, sekiranya di Negeri Sembilan, ia digunapakai oleh sesetengah mereka yang berjawatan, itu paling utama. Selain itu, dipakai juga oleh mereka yang mengambil pingat dan sebagainya atau lebih mudah dipakai oleh golongan rakyat. Malah terpapar juga foto anak-anak Tuanku Negeri Sembilan di internet (juga ada di Muzium Seri Menanti) yang hanya memakai destar ST.

Selain itu, kalau diamat-amati kedudukan dan rupa bentuk keduanya adalah sama, namun letak simpulan dan arah lambaiannya berbeza. Untuk ST, simpulan di sebelah kanan dan lambaiannya menghala ke sebelah kiri, manakala kedudukan DTS pula adalah sebaliknya.

Sementelah, ingin juga saya mengekalkan cara pembuatan sepertinya yang diajarkan. Yakni hanyalah penggunaan kertas minyak, lidi sebagai alas dalam kain untuk membentuk destar ini (seperti yang terpapar dalam video dokumentari oleh Jabatan Muzium Negara dan kini ada dimuatnaikkan oleh sesetengah mereka di You Tube). Oleh itu, sebarang tempahan ST kini, saya hanya menggunakan kaedah itu seperti yang diperturunkan. Walaupun ianya kelihatan dan kedengaran mudah, namun ia perlukan latihan demi latihan agar dapat mengemaskinikannya dengan baik dan sesempurna yang mungkin.

Oleh yang demikian, jangan terkejut andainya, tempahan ini nilainya agak tinggi sedikit dari yang biasa. Kalau pada sesiapa yang membuatnya cara lama, pasti akan mengangguk apa yang saya perkatakan ini. Dalam pengalaman saya yang sedikit juga, destar Negeri Sembilanlah yang paling rumit dan perlukan ketekunan yang tinggi dalam menyiapkannya berbanding dengan yang lain. 

Tapi yang pastinya, sekiranya tidak mempelajari atau berguru destar ini, maka ia akan jelas kelihatan beza rupa bentuk dan pembuatannya yang tidak tepat atau lari dari aturan sebenarnya.

Jadi, pemakainya harus berhati-hati kerana alas dalam kain ini walaupun kelihatan pejap sesudah dibikin, namun harus diingat hanya menggunakan batang lidi sebagai pembentuk dan mengukuhkan tapak destar ini. Sewajarlah destar ini disimpan di dalam tempat yang sesuai, contoh - dalam kotak dan sebagai dan sebagainya.

Pemakaiannya adalah seperti di atas, caranya tunas kelihatan selari dengan mata kanan bagi ST dan mata kiri bagi DTS. Namun ada juga 'mazhab' lain di Negeri Sembilan yang pemakaiannya sedikit berbeza dari yang saya pelajari.

Selain itu, ramai menganggap ST ini kurang 'comel' dari segi pembikinannya. Bagi saya itu adalah subjektif, lain orang lain minat, hajat dan kehendaknya. Namun akibat kebanjiran destar ini di pasaran secara komersil terutama oleh pihak yang terlibat dalam dunia pengantin, menyebabkan ramai mempunyai tanggapan yang destar ini untuk pengantin, walhal ianya tidak begitu. Selain itu, pembuatannya keras menyebabkan kebanyakan tidak gemarkan destar ini, sedangkan garapan cara lama adalah lebih selesa memakainya. Harapnya artikel kecil ini sedikit sebanyak memperbetulkan tanggapan yang mengatakan destar ini untuk pengantin, malah ada yang menyebut tanjak atau tengkolok pengantin. Jadi bukan, ia bukan tengkolok pengantin tetapi ia boleh, tidak salah pula atau digunapakai oleh pengantin dalam majlisnya.

Moga sedikit pencerahan ini dapat memberikan sedikit sumbangan dan kefahaman tentang destar ini. Ada masa nanti, saya akan menulis lagi sedikit sebanyak tentang destar ini. Insya Allah.

Wuallahua'lam.

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP